Saturday, June 20, 2009

AWAS! Waspada Dengan Penyamun Raga Motosikal..

KOTA BHARU SABTU 20 Jun 2009 [Warkah Timur] - AWAS! Pengguna-pengguna motosikal di sekitar Kota Bharu diminta berhati-hati dan memastikan tiada barang yang ditinggalkan di dalam raga motor anda kerana ia akan menarik minat 'penyamun raga motosikal'.

Penyamun raga motosikal ini dilaporkan menyerang kawasan-kawasan berhampiran dengan sebuah pasaraya di Kampung Sireh dan Juga sebuah Bank di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu, Kelantan. Bagi yang sentiasa berada di kawasan ini dinasihati supaya sentiasa memastikan barangan mereka disimpan dengan selamat dan jangan sekali-kali meninggalkanya dengan terdedah di dalam raga motosikal anda.

Seorang mangsa yang telah membuat rungutan berkenaan hal tersebut kepada Warkah Timur meminta supaya tindakan segera perlu diambil bagi mengatasi dan memerangi 'penyamun raga motosikal' tersebut. Beliau yang hanya mahu dikenali dengan nama Ahmad mendakwa beliau kerugian hampir RM150 selepas dua kali kehilangan barangan yang dibeli di pasaraya yang diletakkan di dalam raga motosikalnya.
Reblog this post [with Zemanta]

Sunday, June 7, 2009

Pendekatan Halus UMNO Untuk Dekati Pengundi Manik Urai

KOTA BHARU 7 Jun 2009 - (Warkah Timur) Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata UMNO Kelantan akan menggunakan pendekatan halus untuk mendekati pengundi di Manik Urai.

Pendekatan halus yang dimaksudkan ialah pendekatan rumah ke rumah daripada melaksanakan ceramah besar-besaran kerana tidak mahu menyusahkan pengundi untuk datang semata-mata untuk mendengar ceramah politik dan juga pendekatan ini lebih berkesan kerana jentera-jentera politik dan pemimpin yang datang kepada rakyat untuk memberi penjelasan. Tambanya lagi "Kita juga akan mengadakan siri ceramah tetapi ceramah yang melibatkan dua tiga buah rumah sahaja". "Walau bagaimanapun ceramah besar-besaran akan turut dibuat tetapi tidak banyak berbanding ceramah rumah ke rumah".

Itulah antara strategi baru yang bakal digunakan oleh UMNO Kelantan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai, untuk rekod parti penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Manik Urai ialah PAS.
Reblog this post [with Zemanta]

Mayat Pegawai Imigresen Rentung..

MARAN – Hasrat dua pegawai imigresen menghadiri seminar yang dijadualkan bermula semalam, tidak kesampaian apabila kenderaan pacuan empat roda, Pajero yang mereka naiki merempuh sebuah treler sebelum terbakar di Kilometer 183.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, rempuhan itu menyebabkan Pajero jenis Isuzu Trooper milik Jabatan Imigresen bernombor WKN 3376 itu melekat di belakang treler dan diseret 100 meter ke hadapan.

Menurutnya, mangsa berasal dari Kelantan, Mohd Adil Ismail, 45, dari Depoh Imigresen Ajil, Hulu Terengganu rentung dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, apabila orang ramai gagal mengeluarkannya kerana kaki tersepit.

“Manakala, pemandu Pajero itu, Mohd Syaiful Azam, 22, dari jabatan sama terselamat namun parah di kepala selain patah kedua-dua tangan dan kini mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afazan (HTAA), Kuantan.

“Mohd Adil dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut majikan pagi semalam untuk diserahkan kepada keluarga mangsa,” katanya kepada Warkah Timur, semalam.

Ahmad Johari berkata, kerana menyangka tayar treler pancit atau rim patah, pemandu treler berkenaan, Che Mahmood Mat, 50, segera memasuki lorong kecemasan dan berhenti secara perlahan-lahan.

Menurutnya, Che Mahmood dan klindannya bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa namun hanya Mohd Syaiful berjaya diselamatkan apabila bahagian enjin Pajero terbakar ketika cuba membantu Mohd Adil.

“Beberapa pemandu lori yang menggunakan laluan dari Kuantan ke Kuala Lumpur itu berhenti menghulurkan bantuan untuk memadam api tersebut dengan menggunakan alat pemadam api masing-masing.

“Namun usaha itu gagal untuk mengawal kemaraan api yang merebak dan membakar keseluruhan Pajero serta sedikit bahagian belakang treler berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Che Mahmood yang ditemui berkata, dia tidak menyangka hentakan di belakang treler yang dalam perjalanan membawa muatan simen dari Kuantan ke Kuala Lumpur itu adalah rempuhan sebuah kenderaan lain.

Menurutnya, tanpa berlengah lagi, dia dan kelindannya berusaha mengeluarkan mangsa apabila melihat bahagian enjin Pajero mulainya berasap.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata dan kami hanya mampu melihat Pajero terbakar apabila usaha memadam dengan bantuan orang ramai gagal,” katanya.
Reblog this post [with Zemanta]

Wanita Nyaris Maut di Besut

BESUT – Seorang wanita nyaris maut apabila bahagian dapur rumahnya ranap sama sekali setelah ditimpa sebatang pokok mangga dalam kejadian ribut yang melanda di Kampung Nangka dekat Kuala Besut, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Sahidah Seman, 42, berada di dalam rumahnya, sebelum bergegas keluar ketika ribut kencang disertai hujan renyai-renyai melanda.

Menurut adiknya, Mohd Azhar Mohd Jusoh, 28, sejurus selepas kakaknya keluar melalui pintu depan rumah, tiba-tiba sebatang pokok mangga sebesar lebih satu pemeluk orang dewasa tumbang dan menimpa bahagian dapur rumah.

“Nasib baik kakak saya cepat keluar dan tidak berada di bahagian dapur rumah ketika kejadian. Kalau tidak, tak tahu lah apa yang akan terjadi,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Menurut Mohd Azhar, ketika kejadian, hanya kakaknya berada di dalam rumah, manakala dia dan dua adik tiada di situ.

Katanya, ribut kali ini amat kuat dan belum pernah dialami penduduk di kampung ini dan akibat kejadian, dapur rumah dan perkakas dapur rosak teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nangka, Abd Rahim Abd Razak berkata, sebanyak 12 buah rumah di kampung itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian atap termasuk sebuah masjid.

“Rumah Mohd Azhar antara paling teruk mengalami kerosakan manakala rumah lain hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian atap,” katanya.

Sementara itu, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut melawat mangsa terlibat dan akan menyalurkan bantuan secepat mungkin terutama menerusi agensi yang sesuai.

Dalam kejadian sama petang semalam, atap sebuah garaj meletak kereta di Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri, dekat Kampung Tok Has tercabut dan tersangkut pada pagar sekolah setelah diterbangkan angin.
Reblog this post [with Zemanta]

Anak Lima Bulan dan Ibunya Nyaris Maut..

TUMPAT - Hasrat lima beranak untuk pulang bercuti bersama keluarga di Wakaf Bharu bertukar tragedi apabila ibu bersama anak berusia lima bulan maut dalam kemalangan setelah kereta mereka terbabas di Kilometer 47.5 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Pangkal Petai, Machang, semalam.

Mangsa berasal dari Wakaf Bharu, ibu kepada tiga anak, Rosnira Ariffin, 32, dan anak bongsunya, Muhammad Adam Danish Khairul Anuar, 5 bulan maut di tempat kejadian manakala dua anaknya, Mohd Hanif Danial, 9, dan Mohd Hairiq Darwish, 7, serta suaminya, Mohd Khairul Anuar Mohamad cedera dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Menurut ibu mangsa, Kiah Yaakob, 59, dia tidak menduga kepulangan anaknya sekeluarga yang ditunggu hampir lima bulan bertukar tragedi. Malah katanya, suara anaknya itu masih terngiang di telinganya ketika menelefon memaklumkan dia akan bertolak dari Sungai Besi.

“Sudah lama anak saya tidak pulang ke kampung kerana sibuk dengan tugas suaminya sebagai tentera berpangkat Sarjan yang mengajar di Universiti Pertahanan Malaysia di Sungai Besi.

"Manakala anak saya, disebabkan anaknya masih kecil sukar untuk kerap pulang ke kampung dan mengikut perancangan, suami arwah anak saya akan bertolak pulang semula ke Sungai Besi hari ini (semalam) menaiki bas selepas menghantar isteri serta anaknya bercuti di sini,” katanya.
Reblog this post [with Zemanta]