Wednesday, September 10, 2008

Satu Tiang Perjuangan UMNO sudah tumbang semasa era Pak Lah

dipetik dari:
http://www.suaragenerasimuda.com

Sepertimana yang kita tahu, kenyataan Ketua UMNO Bukit Bendera iaitu Datuk Ahmad Ismail yang dimanipulasi oleh media sehingga menyebabkan beliau difitnah sebagai 'Racist' oleh bangsa lain yang membawa kepada tindakan penggantungan beliau selama tiga tahun ialah merupakan satu kezaliman yang telah dibuat terhadap Ketua UMNO Bukit Bendera itu.

Para pembaca yang budiman, sekiranya anda semua masih ingat 'tiang-tiang perjuangan' asal UMNO yang dikemukakan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah di dalam Mesyuarat Agung Khas UMNO Gua Musang beberapa bulan yang lalu. Terdapat tiga tiang perjuangan UMNO apabila ia diringkaskan menjadi 'Alif, Ba, Ta'.

Tidak perlu penulis jelaskan mengenai Alif dan Ta kerana penulis telah jelaskan dalam beberapa artikel penulis sebelum ini, kali ini penulis lebih berminat untuk bercerita mengenai tiang perjuangan UMNO yang dinamakan 'Ba' atau dengan lebih tepat lagi Bangsa Melayu.

Mempertahankan hak bangsa Melayu merupakan salah satu tujuan UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 di Istana Johor. Sebagai salah sebuah parti yang mewakili suara-suara orang Melayu memang sepatutnya ia mempertahankan orang Melayu.

Namun, sepertimana kata Iklan sebuah akhbar di televisyen "Zaman sudah berubah, dunia sudah maju" tiang BA yang menjadi salah satu tiang perjuangan UMNO sudah patah. Ini berikutan dengan tindakan penggantungan Ketua UMNO Bukit Bendera yang sememangnya bangsa Melayu selalu tiga tahun kerana pucuk pimpinan UMNO ketika ini sudah menjadi 'boneka' bangsa lain.

Dengan tindakan itu, jelas sekali UMNO tidak lagi mempertahankan nasib bangsa Melayu tetapi mengutamakan bangsa lain. Penulis berpendapat perkara ini terjadi kerana 'kelemahan pucuk pimpinan UMNO' dan pada masa yang sama penulis merasakan bagi mengelakkan permasalahan ini menjadi semakin runcing. Penulis juga menggesa agar Pemilihan Agung UMNO dipercepatkan.

KEGAGALAN MKT UMNO MEMBINCANGKAN KEMASUKKAN SEMULA TUN DR. MAHATHIR

Sepertimana yang kita maklum mantan Perdana Menteri yang juga mantan Presiden UMNO telah menyatakan kesediaanya untuk bersama dengan UMNO, namun perkara itu tidak dibincangkan oleh MKT UMNO kerana sepertimana yang saya kata UMNO sekarang lebih mementingkan bangsa lain.

Pernah anda ingat, bagaimana bekas Ketua Pemuda PKR yang ingin menyertai semula UMNO beberapa bulan yang lalu, kemasukkan beliau boleh diibaratkan umpama dihamparkan 'karpet merah' oleh Presiden AAB. Satu Mesyuarat MKT Khas diadakan untuk membincangkan kemasukkan beliau yang pernah bergelar 'Pengkhianat UMNO' tetapi apabila orang yang banyak jasanya kepada UMNO mahu kembali kepangkuan UMNO ia seolah-olah diberi layanan yang 'dingin' oleh Presiden AAB boleh dikatakan 'seperti Pak Lah melepaskan batuk ditangga sahaja'

Orang yang pernah memaki hamun UMNO diberi layanan seperti bidadari di syurga, tetapi orang yang pernah berjasa kepada UMNO diberi layanan seperti 'pengemis jalanan', jelas sekali pada masa ini Presiden AAB lebih mementingkan kedudukan berbanding 'perjuangan' UMNO.

Pemimpin seperti inilah perlu dibuang segera kerana ia bakal membuatkan UMNO rebah di pintu neraka. Ahli-ahli UMNO hendaklah membuat pertimbangan yang sewajarnya bagi menjamin UMNO terus relevan. Beranilah Berubah (meminjam cogankata Datuk Mukhriz) dan Fikir-Fikirkanlah.

Peluang Ku Li Semakin Cerah

dipetik dari:
http://www.suaragenerasimuda.com

Laporan Malaysiakini:

Sanusi: Dr M sokong Ku Li
S Pathmawathy | Sep 9, 08 5:59pm

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyokong bekas lawannya Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan presiden Umno, menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kata bekas setiausaha agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa Dr Mahathir telah memutuskan untuk menyokong ahli Parlimen Gua Musang itu yang pernah mencabarnya bagi jawatan presiden Umno pada 1987.

"Saya boleh mengesahkan bahawa beliau (Dr Mahathir) menyokong Tengku Razaleigh," kata Sanusi, yang merupakan rakan karib Dr Mahathir.

Bagaimanapun Sanusi enggan mengesahkan sama ada Dr Mahathir yang masih mempunyai pengaruh kuat dalam Umno, akan kembali ke pangkuan parti itu.

Akhbar the Star melaporkan hari ini bahawa mantan perdana menteri itu telah dipujuk supaya kembali semula ke Umno, selepas keluar parti itu tiga bulan lalu.

Dr Mahathir, yang kecewa dengan kepimpinan Abdullah, mahu perubahan dalam pucuk pimpinan Umno, yang menjadi tunggak Barisan Nasional.

The Star juga melaporkan bahawa naib presiden Umno, Tan Dri MuhyiddinYassin adalah antara mereka yang menghadiri pertemuan dengan Dr Mahathir.

Sementara itu, khabar tersebar luas bahawa Tengku Razaleigh mungkin memilin Muhyiddin sebagai regunya untuk jawatan timbalan presiden, menentang regu Abdullah-Najib dalam pemilihan Umno Disember depan.


Selepas tersebarnya berita yang mengatakan mantan Perdana Menteri yang juga Mantan Presiden UMNO iaitu Tun Dr. Mahathir bakal sertai semula UMNO bagi memberikan sokongan kepada satu-satunya pencabar Abdullah, iaitu YBM Tengku Razaleigh Hamzah yang turut dikenali dengan nama Ku Li.

Boleh dikatakan pada masa ini kedudukan Pak Lah (Bukan nama sebenar) atau nama sebenarnya Abdullah Haji Ahmad sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri semakin goyah walaupun dia cuba sedaya upaya untuk menyekat kemaraan Anwar kerana bimbang kehilangan jawatan itu, namun pendekatan beliau tak ubah seperti menutup sarang tebuan sedangkan sarang lebah masih terbuka.

'Hujan Kain Pelikat' yang lazimnya menjadi 'senjata' beliau bagi mempertahankan jawatan itu mungkin pada kali ini mungkin tidak dapat menyelamatkanya lagi tambahan pula 'floating boat' Abdullah pun dah 'bocor'.

Abdullah memang lupa dengan ungkapan 'pemenang yang terbaik ialah orang yang menang di dalam senyap' tetapi Abdullah lebih takutkan 'pemenang yang cakap tak berhenti-henti dan penuh dengan angan-angan bak mat jenin' dan mencari pelbagai helah untuk menyekat kemaraan 'pemenang banyak cakap' ini.

Namun, Pemilihan Agung UMNO yang bakal diadakan di penghujung tahun ini adalah penentunya, siapa yang kuat, siapa yang hebat dan siapa yang tepat. Penulis berharap sekiranya Tun Dr. Mahathir dapat membuat pengembalian semula kepada UMNO ia akan menambahkan lagi 'keyakinan ahli UMNO' untuk menukar pucuk pimpinan tertinggi negara dan parti itu.

Mungkin orang beranggapan mustahil berhubungan kerjasama Dr. M dan Ku Li ini kerana ada yang menganggap mereka berdua adalah musuh. Namun, Ku Li berkata Dr. M bukan musuhnya apa yang berlaku cuma beza pendapat dan ianya adalah perkara yang berbeza. Mungkin juga Dr. M tidak juga pernah menggangap Ku Li musuhnya tetapi persepsi orang yang menyebabkan beliau dilabel sebagai musuh 'Ku Li'.