Sunday, June 7, 2009

Mayat Pegawai Imigresen Rentung..

MARAN – Hasrat dua pegawai imigresen menghadiri seminar yang dijadualkan bermula semalam, tidak kesampaian apabila kenderaan pacuan empat roda, Pajero yang mereka naiki merempuh sebuah treler sebelum terbakar di Kilometer 183.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, rempuhan itu menyebabkan Pajero jenis Isuzu Trooper milik Jabatan Imigresen bernombor WKN 3376 itu melekat di belakang treler dan diseret 100 meter ke hadapan.

Menurutnya, mangsa berasal dari Kelantan, Mohd Adil Ismail, 45, dari Depoh Imigresen Ajil, Hulu Terengganu rentung dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, apabila orang ramai gagal mengeluarkannya kerana kaki tersepit.

“Manakala, pemandu Pajero itu, Mohd Syaiful Azam, 22, dari jabatan sama terselamat namun parah di kepala selain patah kedua-dua tangan dan kini mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afazan (HTAA), Kuantan.

“Mohd Adil dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut majikan pagi semalam untuk diserahkan kepada keluarga mangsa,” katanya kepada Warkah Timur, semalam.

Ahmad Johari berkata, kerana menyangka tayar treler pancit atau rim patah, pemandu treler berkenaan, Che Mahmood Mat, 50, segera memasuki lorong kecemasan dan berhenti secara perlahan-lahan.

Menurutnya, Che Mahmood dan klindannya bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa namun hanya Mohd Syaiful berjaya diselamatkan apabila bahagian enjin Pajero terbakar ketika cuba membantu Mohd Adil.

“Beberapa pemandu lori yang menggunakan laluan dari Kuantan ke Kuala Lumpur itu berhenti menghulurkan bantuan untuk memadam api tersebut dengan menggunakan alat pemadam api masing-masing.

“Namun usaha itu gagal untuk mengawal kemaraan api yang merebak dan membakar keseluruhan Pajero serta sedikit bahagian belakang treler berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Che Mahmood yang ditemui berkata, dia tidak menyangka hentakan di belakang treler yang dalam perjalanan membawa muatan simen dari Kuantan ke Kuala Lumpur itu adalah rempuhan sebuah kenderaan lain.

Menurutnya, tanpa berlengah lagi, dia dan kelindannya berusaha mengeluarkan mangsa apabila melihat bahagian enjin Pajero mulainya berasap.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata dan kami hanya mampu melihat Pajero terbakar apabila usaha memadam dengan bantuan orang ramai gagal,” katanya.
Reblog this post [with Zemanta]

0 comments: