Friday, May 29, 2009

Warga emas maut motosikal rempuh kereta

KOTA BHARU – Seorang warga emas maut dalam satu kemalangan apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Simpang tiga, Kampung Kor, Jalan Kuala KraiKota Bharu dekat sini, kelmarin.

Mangsa, Ibrahim Ali, 66 dari Kampung Chekeli, Beta dipercayai menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari rumahnya menuju ke Pejabat Pos Mulong.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Avanza berwarna hitam dari arah Ketereh menuju ke Kota Baharu ketika mangsa keluar dari simpang berkenaan.

“Mangsa dipercayai maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurut Zahruddin, pemandu kereta berkenaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan melainkan keretanya sahaja mengalami kerosakan.

“Mayat mangsa dituntut oleh kelurganya untuk pengkebumian.

“Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Reblog this post [with Zemanta]

0 comments: