Friday, May 29, 2009

Naik taraf jalan utama

BENTONG – Penduduk lapan kampung di sini, termasuk empat di kawasan Felda dan dua perkampungan Orang Asli meminta pihak berwajib mengambil tindakan segera menaik taraf jalan di sini bagi tujuan keselamatan dan keselesaan mereka.

Antara kawasan terbabit ialah Kampung Lebu, Kampung RTP Lebu, Felda Mempaga 1, Felda Mempaga 2, Felda Mempaga 3, Felda Sertik, Kampung Chinta Manis, Kampung Orang Asli Ulu Pareh dan Kampung Orang Asli Aji Kubur dengan anggaran penduduk melebihi 5,000 orang.

Jalan Lebu hingga ke Chinta Manis sejauh 32 kilometer itu digunakan penduduk setiap hari dan keadaan jalan sempit mengundang risiko berlakunya kemalangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lebu, Uyop Sulaiman berkata, jalan itu menjadi laluan utama penduduk berulang-alik ke Bentong dan menjalankan aktiviti harian.

Menurutnya, ia bukan saja digunakan penduduk setempat tetapi juga digunakan pengguna luar memandangkan ia laluan alternatif terutama musim perayaan.

“Apabila musim perayaan, jumlah pengguna jalan ini akan meningkat dan ia menimbulkan masalah penduduk setempat memandangkan jalan ini sempit.

“Jumlah penduduk semakin meningkat dan dengan pertambahan jumlah kenderaan sudah pasti ia memerlukan perhatian sewajarnya,” katanya kepada Warkah Timur.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Mempaga Tiga, Safidin Nordin berkata, jalan kawasan itu selain digunakan kenderaan biasa juga dilalui lori balak.

“Dengan keadaan jalan yang sempit ditambah dengan kenderaan membawa muatan berat sudah pasti ia berbahaya kepada penduduk setempat.

“Sejak awal tahun, lebih kurang 10 kemalangan berlaku dan melibatkan kematian,” katanya.

Safidin berkata, selain jalan utama terdapat juga persimpangan jalan dan selekoh berbahaya kepada pengguna sepanjang laluan itu.

Manakala Penolong Pengurus Besar Wilayah Mempaga, Amir Hamdan Yusof pula berkata, pihaknya amat berharap pihak berwajib menaik taraf jalan itu secepat mungkin.

Menurutnya, penggunaan jalan itu semakin meningkat berdasarkan pembangunan pesat kawasan Mempaga kerana terdapat Penjara Bentong, Depoh Simpanan Peluru dan projek Sekolah Sains Bentong.

“Sememangnya diakui, pertambahan penduduk di kawasan Mempaga dan kawasan sekitarnya memerlukan satu pendekatan proaktif untuk menangani masalah sistem perhubungan di kawasan itu.

“Pembangunan di kawasan Mempaga disifatkan sebagai pusat pertubuhan pembangunan baru berdasarkan kerancakan pembangunan yang sememangnya dapat dilihat jelas pada waktu sekarang,” katanya.
Reblog this post [with Zemanta]

0 comments: