Friday, May 29, 2009

RM234.4j laksana projek telekomunikasi

KUALA TERENGGANU – Sebanyak RM234.4 juta diperuntukkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini bermula 2008 hingga 2010 supaya masyarakat memperoleh akses jalur lebar secara lebih meluas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Yahaya Khatib Mohamad berkata, peruntukan berkenaan dibiayai tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) dan melaluinya pihak SKMM menyasarkan kadar penembusan internet bagi setiap isi rumah sebanyak 50 peratus pada tahun 2010 berbanding 10.6 peratus pada tahun lalu.

:“Daripada jumlah peruntukan berkenaan, sebanyak RM137.2 juta diperuntukkan untuk pembinaan 98 menara telekomunikasi baru di seluruh negeri ini di bawah program Time-3 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2010.

“Pelaksanaan projek ini membolehkan perkhidmatan selular diperluaskan ke semua kawasan penempatan penduduk terutama di kawasan luar bandar seperti Setiu, Hulu Terengganu, Dungun, Besut dan Marang,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2009 peringkat Wilayah Timur di Taman Batu Burok, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Wilayah Timur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Shafie Harun dan Pengarah Unit Urusan Maklumat Negeri, Che Rani Mohd.

Sehubungan itu, beliau berharap, pihak SKMM, syarikat perkhidmatan selular dan syarikat Desa Bina Industries Sdn Bhd sebagai ‘state-backed company’ dapat bekerjasama dengan semua pejabat daerah serta agensi kerajaan negeri untuk mengenal pasti lokasi di seluruh Terengganu khususnya di kawasan penempatan penduduk luar bandar yang masih memerlukan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih.

Menurutnya, sehingga kini Terengganu memiliki 404 menara telekomunikasi dan dengan pertambahan 98 jumlah menara berkenaan sebanyak 95 peratus penduduk negeri ini akan mendapat akses terhadap perkhidmatan jalur lebar berkenaan.

“Dalam projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi juga, sebanyak 48 Pusat Jalur Lebar Komuniti akan diwujudkan membabitkan peruntukan berjumlah RM72 juta dan sehingga kini 12 daripadanya telah beroperasi termasuk di Kampung Merchang, Marang," katanya.
Reblog this post [with Zemanta]

0 comments: