Monday, May 25, 2009

Kapal layar karam: 1 hilang, 2 parah

KUANTAN – Seorang penyelam dari Amerika Syarikat dilaporkan hilang manakala dua lagi parah dan dua lagi cedera ringan apabila kapal layar yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kapal lain dalam satu kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam, 31 Batu Noutika dari Pelabuhan Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, penyelam yang hilang itu dikenali sebagai Kenneth Wayne, 62, manakala rakannya James Edward, 27, dari Ireland dan tukang masak kapal layar itu, Butsara Tom Tantak Suwan, 31, warganegara Thailand mendapat rawatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Menurutnya, dua lagi mangsa iaitu Kapten kapal berkenaan, Anon dan anak kapalnya, Papop, kedua-duanya warganegara Thailand hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kira-kira jam 10.45 pagi tadi (semalam), Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dimaklumkan daripada anggota Pasukan Gerakan Marin Kuantan bahawa mereka menerima panggilan telefon daripada tekong sebuah bot nelayan yang berjaya menyelamatkan empat mangsa yang terapung di laut.

“Lebih kurang jam 12 tengah hari, kesemua mangsa terselamat dibawa ke Jeti Pangkalan Pasukan Gerakan Marin Kuantan dan mereka dihantar ke HTAA untuk rawatan lanjut,” katanya sewaktu ditemui semalam.

Mohd Jasmani berkata, siasatan awal mendapati kapal layar tersebut dimiliki World Win Dive And Sail Co. Ltd yang didaftarkan di Phuket, Thailand.

Menurutnya, kapal itu berlepas dari Phuket pada 16 Mei lalu dengan membawa lima individu dan menghala ke Langkawi, Singapura dan Pulau Tioman.

“Kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam) kapal layar itu memasuki perairan Kuantan dengan tujuan untuk membawa penyelam mengambil gambar di dasar laut sekitar kawasan Pusat Penyelam yang ditetapkan.

“Semasa kapal layar itu berada di 31 Batu Noutika daripada Pelabuhan Kuantan, kapal mereka dilanggar oleh sebuah kapal yang tidak diketahui menyebabkan kapal layar itu karam,” katanya.

Beliau berkata, empat mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan terjun ke laut menggunakan jaket keselamatan, manakala seorang lagi mangsa gagal dijumpai.

Jasmani berkata, berikutan itu operasi mencari dan menyelamat dijalankan Pasukan Gerakan Marin, Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia untuk mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.
Reblog this post [with Zemanta]

0 comments: