Friday, May 25, 2007


"Antara yang akan diberikan penekanan awal ialah
terhadap industri seni ukir dan seni corak batik serta songket yang mempunyai
potensi besar untuk diperkembangkan," Datuk Seri Haji
Idris Jusoh, Menteri Besar Terengganu.


JERTIH, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan Terengganu kini serius untuk melahirkan kumpulan usahawan yang berdaya saing sehingga ke peringkat global bagi memastikan produk dari negeri itu dipasarkan ke seluruh dunia, kata Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata kerajaan bukan sahaja menyediakan peruntukan bagi mencapai matlamat tersebut, malah pelbagai rancangan dalam mendedahkan kepakaran dan keunikan produk negeri itu juga akan ditonjolkan dengan lebih meluas di luar negara.
Katanya Terengganu sebenarnya mempunyai banyak produk yang berpotensi untuk dibangun dan dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
"Selain barangan anyaman dan reka corak dalam industri batik dan songket, produk berasaskan makanan, ukiran dan pengeluaran pertanian kita juga sudah mula disukai dan berjaya menembusi pasaran luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Terengganu International Design Excellence (TIDE) dan penyerahan Modul Latihan Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long peringkat Terengganu di Dewan Gong Kemuntong dekat sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Musa Mohamad.
Idris berkata produk yang dikeluarkan rakyat Terengganu kini mula dikenali dan sewajarnya produk tersebut diperkembangkan secara lebih sistematik ke pasaran luar negara.
Katanya SDSI merupakan satu platform yang akan dijayakan kerajaan negeri dalam melatih, memantap dan memperkenalkan produk negeri itu ke seluruh dunia.
"Antara yang akan diberikan penekanan awal ialah terhadap industri seni ukir dan seni corak batik serta songket yang mempunyai potensi besar untuk diperkembangkan," katanya.
--
BERNAMA

0 comments: