Friday, May 25, 2007

Ramli Ngah Talib Tawan Gunung Tahan




KUALA LUMPUR, 25 Mei - Walaupun berusia 66 tahun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib membuktikan dirinya masih mampu melakukan aktiviti lasak apabila berjaya menakluki puncak Gunung Tahan semalam.
Menurut kenyataan Parlimen Malaysia, Ramli yang mengetuai ekspedisi enam warga Parlimen itu berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Tahan pada pukul 9 pagi semalam.
Ekspidisi lima hari mulai 20 Mei, bermula dengan dengan perjalanan sejauh 13 km dari Pejabat Penguasa Taman Negara Pahang di Sungai Relau, Merapoh menggunakan kenderaan pacuan empat roda sehingga ke Kuala Jeram yang merupakan tempat permulaan pendakian itu.
Dari Kuala Jeram ekspedisi diteruskan sehingga ke Kem Kor dengan anggota ekspedisi bermalam di situ sebelum meneruskan pendakian keesokkannya hingga Bukit Botak yang mempunyai ketinggian 1,943 meter.
Dari Bukit Botak, kumpulan ekspedisi berkenaan memulakan pendakian ke puncak Gunung Tahan kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum sampai ke puncaknya tepat jam 9 pagi semalam.
Gunung Tahan yang mempunyai ketinggian 2,187 meter merupakan gunung kedua tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu.

0 comments: