Saturday, May 26, 2007

Segelintir Peniaga Di Terengganu Cuba Naikkan Harga Barang

KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Harga barang-barang keperluan di Terengganu masih terkawal walaupun ada segelintir peniaga didapati cuba menaikkan harganya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri, Toh Chin Yaw.
Beliau berkata Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sentiasa menjalankan pemeriksaan dan memantau premis-premis perniagaan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati.
"Berdasarkan pemeriksaan, kita dapati ada sebahagian kecil peniaga yang cuba menaikkan harga barang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada lima mangsa satu kejadian kebakaran di sini hari ini.
Pada awal bulan lepas, enam buah rumah di Kampung Tanjung Paya di sini, musnah dalam satu kebakaran. Lima daripada mangsa menerima sumbangan daripada Tabung Bencana Alam Negeri berjumlah RM10,000 setiap seorang manakala seorang lagi menerima sebanyak RM5,000.
Toh berkata pemeriksaan ke pasar-pasar utama dalam negeri akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan peniaga mematuhi peraturan harga yang ditetapkan.

0 comments: