Wednesday, May 20, 2009

Kematian warga emas bermotif bunuh

KOTA BHARU - Polis percaya kematian seorang warga emas di rumahnya di Kampung Sireh, Bawah Lembah dekat sini kelmarin bermotifkan samun dan bunuh.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II mendapati mangsa, Zaharah Sulong, 84, mati akibat dicekik dan lehernya dipulas.

“Berdasarkan laporan tersebut, mangsa disahkan mati akibat mengalami patah leher.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan wujudnya perbuatan khianat terhadap mangsa kerana terdapatnya kesan lebam di dahi dan tangan mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya semalam.

Menurutnya, hasil sia-satan yang dijalankan, polis mendapati tiada kesan pencerobohan yang dila-kukan terhadap rumah mangsa berikutan tiada barangan berharga lain yang dilaporkan hilang kecuali sebentuk cincin emas belah rotan yang dipercayai dipakai di jari mangsa.

“Berikutan itu, pihak polis yang pada peringkat awalnya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes kematian biasa menukar kes itu kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, polis mendapati suspek memasuki rumah dua tingkat jenis papan itu dengan cara mengumpil tingkap bilik tidur mangsa di bahagian atas dan keluar melalui pintu dapur bahagian belakang rumah itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang tinggal di rumah bersama anak sulung perempuannya yang dipercayai kurang siuman ditemui mati dalam keadaan terbaring di dalam bilik tidurnya.

Zahruddin berkata, polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes itu berdasarkan maklumat orang ramai dan percaya kes tersebut dilakukan oleh lebih dari seorang suspek.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan diminta tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis polis berhampiran dengan segera,” katanya.
Reblog this post [with Zemanta]

0 comments: