Tuesday, May 22, 2007

PAS impikan pemimpin parti dari kaum cina





Orang Melayu masuk Islam kerana
datuk neneknya orang Islam, masuk Islam automatik dan mereka hanyut begitu
sahaja,’’Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul am Pas



“Kita pernah menawan Terengganu sebelum ini dan tidak menjadi masalah kepada Pas untuk menawan semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang,’’ Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas

KUALA LUMPUR 21 MeiMursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap dan berdoa agar suatu hari nanti ada pemimpin penting dalam parti itu dari kalangan kaum Cina.
Katanya, beliau suka kepada sikap orang Cina yang lebih tekun dan suka belajar bila masuk Islam berbanding orang Melayu.
’’Orang Melayu masuk Islam kerana datuk neneknya orang Islam, masuk Islam automatik dan mereka hanyut begitu sahaja,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut di sini hari ini.


Turut hadir Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas mensasarkan untuk menawan negeri-negeri utara Semenanjung pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, pada pilihan raya itu nanti, pihaknya mahu menonjolkan kejayaan negeri Kelantan sebagai sebuah negeri terbaik di bawah pemerintahan kerajaan Pas.
“Kita pernah menawan Terengganu sebelum ini dan tidak menjadi masalah kepada Pas untuk menawan semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang,’’ ujarnya.
Ditanya mengenai kerajaan bayangan Pas, beliau berkata, pihaknya belum membayangkannya setakat ini.
“Kita tidak mahu kerajaan bayangan tetapi mahu kerajaan yang boleh menjadi nyata.
“Semua bayangan itu akan terlaksana selepas pilihan raya umum akan datang,’’ ujarnya.

Gaji Kakitangan Awam Naik Sehingga 35%





‘‘Harapan untuk melihat mutu perkhidmatan yang terbaik, yang setimpal dengan kenaikan gaji, akan dirasai secara umum. Gunakanlah peluang ini untuk terus meningkatkan produktiviti serta mutu perkhidmatan kepada rakyat,” Y.AB Datuk Seri Abdullah Bin Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.




PUTRAJAYA 21 Mei – Kerajaan hari ini mengumumkan berita gembira yang disifatkan sebagai ‘terbaik dalam sejarah perkhidmatan awam’ apabila memberi kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus kepada kakitangannya berkuat kuasa 1 Julai ini.
Bagi anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia pula, mereka menerima durian runtuh yang lebih istimewa iaitu kadar kenaikan gaji antara 9 hingga 42 peratus, iaitu 20 peratus lebih tinggi daripada peratus kenaikan gaji kakitangan awam lain.
Selain pemberian kenaikan gaji pokok, kerajaan turut mengumumkan kenaikan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak 100 peratus bagi menampung kos hidup kakitangan awam yang tinggal di bandar-bandar besar.
Dalam pengumuman yang turut menggembirakan lebih 557,000 pesara kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kenaikan itu juga melibatkan kenaikan pencen bekas kakitangan awam.
Sebanyak 1.02 juta kakitangan awam terlibat dalam eksesais yang dikenali sebagai ‘pemberian kenaikan gaji’ itu. Ia bukan satu semakan gaji.
Kenaikan gaji itu melibatkan perbelanjaan RM3.4 bilion bagi tahun ini atau perbelanjaan tambahan sebanyak RM6.8 bilion setahun.
Peningkatan kadar COLA pula melibatkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM600 juta bagi tahun ini atau RM1.2 bilion setahun.
Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri ketika berucap pada Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.


Pengumuman tersebut disambut dengan tepukan gemuruh kakitangan awam yang memenuhi dewan berkenaan. Kata-kata “Hidup Pak Lah!” dilaungkan secara spontan oleh hadirin dalam dewan itu tanda terima kasih atas pemberian tersebut.
Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam dilakukan ialah pada 1992 dengan kenaikan gaji sebanyak lapan peratus, manakala pelarasan terakhir gaji sektor awam dibuat pada 2000.


Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam satu memorandum kepada Perdana Menteri pada 11 Januari lalu menuntut kerajaan membuat semakan gaji dengan kenaikan antara 20 hingga 40 peratus.
Presidennya, Omar Osman dalam reaksinya berkata: ‘‘Kita berasa amat gembira, walaupun kurang lima peratus (berbanding tuntutan asal 40 peratus) tetapi kita tetap bersyukur. Kenaikan elaun COLA sehingga RM300 sudah memadai.”
Beliau yang berada di atas pentas bersama-sama Abdullah semasa pengumuman itu dibuat di PICC menyifatkan kenaikan tersebut sebagai kenaikan gaji terbaik dalam sejarah perkhidmatan awam.


Beliau yakin sokongan kakitangan awam terhadap kerajaan semakin kuat.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri-menteri Kabinet serta para pegawai kanan kerajaan.
Abdullah berkata, keputusan menaikkan gaji sektor awam dibuat setelah beliau memperhalusi beberapa faktor, antaranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik dalam tempoh lima tahun lalu iaitu sebanyak 5.6 peratus purata setahun.
Katanya, pertumbuhan itu juga didorong oleh pertumbuhan pelaburan swasta termasuk pelaburan langsung asing (FDI) serta perkembangan dagangan Malaysia yang melebihi nilai RM1 trilion setahun.
‘‘Pertumbuhan ini telah memungkinkan keadaan (ekonomi yang baik) yang mana kadar faedah, kadar inflasi dan kadar pengangguran kekal rendah.
‘‘Indeks Komposit Bursa Malaysia juga membayangkan kepesatan ekonomi negara dengan mencapai tahap yang paling tinggi baru-baru ini,” kata beliau dalam ucapannya pada majlis itu yang dihadiri kira-kira 6,000 kakitangan awam.
Menurut Perdana Menteri, pertumbuhan ekonomi negara hasil usaha sektor swasta turut didukung usaha sektor awam sebagai pelaksana dasar, fasilitator dan penguat kuasa undang-undang.
Faktor kedua pula, kata Abdullah, ialah keperluan untuk menarik serta mengekalkan modal insan yang berkelayakan, berprestasi tinggi dan bermotivasi dalam sektor awam.
Motivasi
‘‘Pekerja sektor awam perlu diberi motivasi untuk terus meningkatkan produktiviti,” tegasnya.
Beliau berkata, faktor ketiga yang mendorong kenaikan gaji sektor awam ialah peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak dunia menjadikan kerajaan prihatin terhadap nasib kumpulan berpendapatan rendah.
Kata Abdullah, faktor keempat ialah kemampuan kewangan kerajaan yang mana kutipan cukai negara bertambah dengan ketara, manakala keberkesanan perbelanjaan dapat dipertingkatkan.
‘‘Dalam memutuskan kenaikan gaji, kerajaan sentiasa berjaga-jaga akan kesannya kepada kewangan negara. Sebarang kenaikan gaji akan juga melibatkan pencen serta elaun-elaun tertentu.
‘‘Dengan itu kuantum kenaikan diputuskan secara cermat dan berhemat. Kerajaan berjaya mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan daripada 5.3 peratus pada 2003 kepada 3.5 peratus tahun lalu dan pengurusan fiskal berhemat ini akan diteruskan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, kenaikan tersebut akan dapat meringankan beban yang dirasai anggota sektor awam terutama mereka yang berada dalam kumpulan terendah.
Pada masa yang sama, kata beliau, semua pegawai dan kakitangan sektor awam perlu sedar bahawa dengan kenaikan gaji itu harapan seluruh rakyat serta kerajaan terhadap mereka akan meningkat.
‘‘Harapan untuk melihat mutu perkhidmatan yang terbaik, yang setimpal dengan kenaikan gaji, akan dirasai secara umum. Gunakanlah peluang ini untuk terus meningkatkan produktiviti serta mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Secara amnya kenaikan itu melibatkan:
Kumpulan Sokongan 2 iaitu Gred 1 hingga 16, gaji pokok dinaikkan sebanyak 35 peratus
.
Kumpulan Sokongan 1 iaitu Gred 17 hingga 40 menerima kenaikan sebanyak 25 peratus.
Kumpulan Pengurusan dan Profesional pula akan menikmati kenaikan sebanyak 15 peratus.
Kumpulan Pengurusan Tertinggi (JUSA) mendapat 7.5 peratus.
Kerajaan juga memberi kenaikan tambahan 20 peratus kepada anggota-anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di atas peratusan kenaikan gaji kakitangan awam.

Monday, May 21, 2007

Akademi Fantasia 5 Melabuhkan Tirainya


Saya ingin menasihatkan kepada
wartawan-wartawan hiburan Malaysia jangan asyik mengkritik orang "kata orang
cerminlah diri anda dahulu sebelum mengkrtik orang lain". "satu jari kita
halakan dekat seseorang, sembilan jari menghala ke kita"


Akademi Fantasia sebuah rancangan realiti televisyen yang diminati ramai kini berada pada musim ke 5 melabuhkan tirainya pada sabtu lalu (19 Mei 2007) dengan menyaksikan pertama kali dalam sejarah Akademi Fantasia Muncul Juara Wanita sulung iaitu Mila. Setelah mengharungi banyak jerit payah dan kritikan-kritikan pedas yang dilemparkan oleh Pengkritik-pengkritik tetap dan jemputan AF5. Manakala Ebi atau nama sebenarnya Ebi Kornelis Abdullah hanya mampu menduduki tangga kedua dan menjadi Naib Juara Akademi Fantasia Ke 5. Aswad yang nyanyianya hanya sederhana sahaja jika dibandingkan yang lain menduduki tempat ketiga sedangkan nyanyia Heliza yang begitu bagus ditenggelamkan oleh rasa belas kasihan pengundi terhadap Aswad. Heliza hanya mampu mendapat tempat keempat. Manakala Candy mendapat tempat ke 5.


Persembahan Heliza kurang menyengat pada malam itu mungkin kerana disebabkan faktor lagu yang berentak perlahan. Sedangkan jika Heliza diberikan lagu rock berkemungkinan besar persembahan beliau pada malam mantap dan membanggakan. Ada juga khabar angin mengatakan "Heliza telah disabotaj, kerana ingin memberikan peluang kepada Mila untuk menjadi Juara dan juga kepada Aswad tempat ketiga. Namun itu hanyalah khabar angin kita tidak tahu kesahihanya tetapi ada juga kemungkinan berlaku tetapi kemungkinan itu tidaklah besar hanyalah 30:60 sahaja.


Boleh dikatakan konsert pada Malam sabtu lalu membosankan dicampur pula dengan pengubahan muzik yang membuatkan lagu-lagu tersebut tidak bermaya. Seolah-olah kembali ke zaman silam. Pada saya gubahan semula muzik sepatutnya dikurangkan dan kalau ada pastikan ia benar-benar berkualiti. Maaf saya cakap, Konsert Akhir AF hari sabtu lalu memang tak nampak pun seperti konsert akhir sebaliknya nampak macam konsert main-main dekat funfair sahaja cuma bezanya bilangan penonton yang ramai. Mila sendiri pun bukanlah bagus sangat pada malam itu cuma tidak dinafikan lelaki-lelaki yang tengok aurat mila yang tidak ditutup itu membuatkan ramai lelaki tergoda dan secara tidak langsung akan mengundi Mila. Saya tak nafikan Mila berbakat besar cuma besar kebarangkalian undian Mila bertambah kerana Mila yang tak menutup Aurat membuatkan lelaki semalaysia tergoda sebagaimana terjadi kepada kawan-kawan serumah saya.


Konsert Akhir Akademi Fantasia 5 menyaksikan persembahan terakhir Pengacara Akademi Fantasia 5 musim berturut-turut iaiatu Pengacara No.1 Negara Aznil Hj. Nawawi yang juga begitu sinonim dengan Akademi Fantasia. Ada juga yang mengatakan tiada Aznil mungkin Akademi Fantasia musim akan datang tidak akan menyengat lagi. Namun, bagi Aznil ia adalah tanggungjawab untuk memberikan peluang-peluang kepada Pengacara-pengacara baru menunjukkan bakatnya. Kita perlu akur dengan kehendak Aznil. Cuma pihak ASTRO perlu memastikan bahawa pengacara yang mengantikan Aznil adalah orang yang benar-benar berbakat contohnya seperti A.C Mizal ataupun Saiful Apek. Pada saya mereka sahajalah antara orang yang paling layak diberi tanggungjawab sebagai Pengacara Akademi Fantasia musim baru.


Ada ura-ura mengatakan Akademi Fantasia 5 adalah akademi yang terakhir yang digembar-gemburkan oleh wartawan-wartawan hiburan di akhbar-akhbar nasional. Apa yang mereka lakukan adalah salah satu usaha untuk menghentikan rancangan tersebut. Mengapa mereka mahu menghentikan program tersebut? tentu mereka sendiri ada jawapanya tetapi pada saya Akademi Fantasia sepatutnya diteruskan untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk menonjolkan bakat mereka disamping mendapat ilmu kesenian secara percuma yang jika diambil dekat luar sana sudah tentu harganya berlipat kali ganda. Pada saya pandangan dan kritikan wartawan tersebut adalah pandangan peribadi mereka bukan mewakili suara-suara rakyat. Sebagai contoh pada AF Debat Hari Ahad 20 Mei 2007 keputusan undian sms menunjukkan bahawa masih ramai orang yang berminat dengan Akademi Fantasia. Saya ingin menasihatkan kepada wartawan-wartawan hiburan Malaysia jangan asyik mengkritik orang "kata orang cerminlah diri anda dahulu sebelum mengkrtik orang lain". "satu jari kita halakan dekat seseorang, sembilan jari menghala ke kita".


Bagi saya Akademi Fantasia mesti melakukan beberapa perubahan bagi menjamin Akademi Fantasia diterima ramai sampai bila-bila. Beberapa pembaharuan yang saya cadangkan ialah:


  • Konsert Mingguan diadakan secara "roadshow' ke setiap negeri.

  • Pemberian hadiah kepada pengundi terbanyak (Bukan melaui kuiz sms)

  • Pastikan Juara dan Bintang-bintang AF tidak berehat lama dan keluarkan Album sulung mereka selepas 3 bulan Akademi Fantasia tamat. Jika tidak dapat promosikan mereka menjadi pelakon Filem layar perak

  • Jemput bekas pelajar Akademi Fantasia musim lalu untuk menjadi pengkritik.

  • Ujibakat diadakan ke seluruh negeri di Malaysia

  • Istiharkan jumlah kutipan undian dalam Ringit Malaysia

  • Pengkritik Tetap hanya 1 orang sahaja (Kalau boleh Khir Rahman)

  • Tiga Orang Pengkritik jemputan

  • Harga AFUNDI dikurangkan.

  • Yuran Langganan Astro dikurangkan.

  • Kurangkan kejutan yang lebih kurang sama dengan musim lalu.

Setakat saya rasa itu sahaja akan membantu membuatkan Akademi Fantasia akan menjadi program realiti yang unggul kembali. Saya berharap pihak astro akan mengkaji cadangan ini. Kisah Akademi Fantasia ini saya hentikan setakat ini sahaja.

Saturday, April 14, 2007

Warkah Timur Blog Gerbang Pantai Timur Anda


"Jangan biarkan ia berlaku, jangan tunggu sampai esok, memang esok masih ada tetapi kita tidak tahu esok milik siapa?"




Blog Warkah Timur dibina bertujuan untuk memberikan pelayar-pelayar internet berita yang sebenar daripada Pantai Timur terutamanya Kelantan dan Terengganu. Bagi mengatasi siri-siri pembohongan yang cuba menjatuhkan kredibiliti dan maruah orang pantai timur demi kepentingan politik sempit mereka.

Contoh-contoh isu yang dibuat oleh beberapa blog-blog parti politik ialah seperti menuduh Terengganu sebagai darul pondan. Sebenarnya kalau nak dikirakan semasa kerajaan negeri Terengganu berada di bawah tampuk pemerintahan terdahulu adalah lebih layak dikatakan "darul pondan" kerana tiada penguatkuasaan dibuat. Semasa pemerintahan kerajaan negeri sekarang "penguatkuasaan" telah dilakukan secara aktif dengan ini secara tidak langsung telah menyebabkan masalah pondan menjadi isu yang kemudian diputarbelitkan oleh fahaman politik berideologi sonsang dan boleh dikatakan kita semua diperalatkan dengan isu tersebut. Cuba anda fikirkan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu mengapa tiada tindakan dibuat atau mereka sengaja tinggalkan permasalahan ini sebagai 'bom jangka' untuk membantu mereka menguasai semula negeri tersebut pada masa akan datang? Anda sememangnya tahu jawapanya.

Sepatutnya sebagai pemimpin pergerakkan atau parti politik perlu menjadi 'role model' kepada anak-anak bangsa yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara dengan memberikan input-input positif bagi menjamin mereka suatu hari nanti menjadi pemimpin agung yang disegani seantoro dunia kerana kebijaksanaan memimpin mereka. Bukan menjadi pemimpin popular yang hanya petah berkata-kata sahaja dengan memutarbelitkan fakta. Satu semangat baru perlu disuntik kepada belia-beliawanis negara dengan memberi mereka input yang positif bagi membantu mereka memacu kehadapan ke arah merealisasikan wawasan 2020 menjadi nyata.

Kepada pemimpin-pemimpin politik di luar sana, cukuplah bermain politik ala budak tadika ini, sebaliknya marilah kita bersatu untuk menghapuskan gejala-gejala tidak sihat yang 'menghantui' orang muda kita seperti penagihan dadah, mat rempit, dan pembabitan juvana dalam kes-kes jenayah serta yang paling penting sekali adalah menghapuskan 'Gerakan Mermurtadkan Orang Islam' ini adalah lebih baik daripada bercakaran sesama sendiri. Sudah sampai masanya kita bersatu untuk menentang gerakan yang cuba memesong akidah umat Islam ini. Buktikan yang kita orang Islam bersatu. Ingatlah bersatu teguh bercerai roboh. Sudah banyak negara Islam telah menerima padah kerana tidak bersatu salah satu contohnya Iraq. Jangan biarkan ia berlaku, jangan tunggu sampai esok, memang esok masih ada tetapi kita tidak tahu esok milik siapa?